Pelancong ke Pangkor dijangka meningkat

Utusan Online |
ZAMBRY ABD. KADIR menyerahkan replika cek kepada wakil NGO Pulau Pangkor dalam majlis penyampaian an

LUMUT 14 Feb. - Penduduk Pulau Pangkor harus bersedia untuk mene­rima kedatangan pelancong yang dijangka meningkat tahun ini selepas ke pulau peranginan itu diisytihar pulau bebas cukai.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, selain penduduk, pengusaha pelancongan boleh merebut peluang meningkatkan ekonomi dengan menyediakan kemudahan penginapan untuk pelancong.

Menurut beliau, antaranya pen­g­usaha inap desa yang diharap dapat menambah bilangan kemudahan supaya pelancong dapat bermalam di pulau itu.

“Dalam masa sama kerajaan negeri dan Persekutuan telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan berharap tahun ini dapat disempurnakan antaranya termasuk persiapan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ)) dan pembesaran jeti awam,” katanya ketika lawatan kerja ke Pulau Pangkor baru-baru ini.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip dan Pegawai Eksekutif Yayasan Bina Upaya (YBU) Datuk Ismail Saffian.

Zambry berkata, sejajar de­ngan pengisytiharan Pangkor bebas cukai, kerajaan negeri menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik ataupun berteknologi hijau di seluruh pulau itu.

Beliau berkata, ini sekali gus mengurangkan kenderaan yang mengunakan petrol dan diesel dan perkara itu masih dalam pe­ringkat cadangan sebelum dipanjangkan untuk tindakan lanjut.

“Langkah ini adalah inisiatif yang kita panggil teknologi mapan, bagi mengelakkan pencemaran di Pulau Pangkor.

“Dari segi kehijuan keindahan pulau pula, kita kekalkan cuma dari segi cadangan ini kita harap masyarakat bersedia untuk mene­rima perubahan ini,” katanya.

Dalam lawatan tersebut Zambry menyampaikan ang pau sempena Tahun Baharu Cina kepada 700 penduduk di Arena Pangkor Pasir Bogak dan sumbangan RM500 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pangkor.

  • 0
    SHARES

Berita Disyorkan