Zakir Naik: Kemenangan kepada umat Islam

Utusan Online |

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Pembatalan saman pemula terhadap pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik disifatkan sebagai kemenangan kepada umat Islam khususnya di negara ini.

Perkara itu disuarakan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali yang memberitahu, pihaknya mempertahankan Zakir bukan atas dasar individu tetapi kemaslahatan umat Islam secara keseluruhannya.

Beliau juga berkata, ini bukan kemenangan pertama membabitkan kes Zakir memandangkan tokoh agama itu telah banyak kali memenangi pendakwaan di beberapa negara lain.

“Dari awal lagi tuduhan-tuduhan dibuat oleh golongan ini kerana mahu mencipta persepsi bahawa Zakir seorang yang berbahaya kerana beliau merupakan tokoh Islam terkemuka yang pakar dalam perban­dingan agama.

“Apabila berhujah di seluruh dunia, hujah beliau tidak dapat dipatahkan. Beliau bukan hanya fasih al-Quran tetapi kitab-kitab agama lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan empat yang lain berjaya membatalkan zaman pemula difailkan oleh Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moor­thy bersama 18 individu lain di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam pada itu, Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin memuji kerajaan kerana menjadi pendukung kepada Zakir dalam kes itu dengan menjalankan tugas yang baik.

Menerusi catatan di akaun Facebook beliau, Mohd. Asri juga mengingatkan betapa beruntungnya penganut bukan Islam di negara ini sehingga boleh membawa kes memusuhi umat Islam yang menjadi majoriti di Malaysia ke mahkamah.

Sedangkan, kata Mohd. Asri, di negara seperti India dan Myan­mar serta beberapa negara lain, umat Islam dibunuh tanpa ada mahkamah yang boleh membela.

  • 0
    SHARES