SPRM ambil keterangan Ramasamy

Utusan Online |
P. RAMASAMY

PULAU PINANG 14 Feb. – Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy hari ini memberi ke­terangan hampir lapan jam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dipercayai bagi membantu siasatan kes terowong dasar laut.

Ramasamy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Pendidikan dan Sumber Manusia Sains, Teknologi dan Inovasi negeri itu tiba di Ibu pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, kira-kira pukul 8.45 pagi ini.

Beliau yang ditemani peguamnya, Datuk Arjit Singh Jessy kemudian dilihat meninggalkan Ibu pejabat SPRM tersebut kira-kira pukul 4.30 petang.

Terdahulu, bercakap kepada pemberita di luar bangunan SPRM itu, Ramasamy berkata, beliau diarahkan hadir oleh SPRM untuk memberi keterangan berhubung projek berkenaan.

“Selain itu saya tidak tahu (tujuan dipanggil) walaupun saya tidak terlibat secara langsung dalam projek terowong ini sebab bukan di bawah portfolio saya.

“Saya dipanggil mungkin atas kapasiti sebagai Exco kerajaan negeri atau mungkin tulisan-tulisan saya tentang isu terowong ini,” katanya.

Ramasamy merupakan Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang ke­dua yang dipanggil SPRM selepas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Lim Hock Seng turut dipanggil memberi keterangan hampir 12 jam semalam.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam sidang akhbarnya mempersoalkan tindakan SPRM memanggil Ramasamy yang disifatkan tiada kaitan dengan projek terowong tersebut.

“Kita faham jika Hock Seng dipanggil SPRM semalam kerana projek itu di bawah portfolio beliau, tetapi apa kaitannya Ramasamy dengan projek ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau yakin Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang lain juga akan dipanggil SPRM selepas ini meskipun tidak terlibat dengan projek terowong tersebut sama seperti yang berlaku kepada Ramasamy.

Tambahnya, beliau juga sudah bersedia untuk memberi keterangan namun sehingga kini belum dipanggil SPRM untuk berbuat demikian.

  • 0
    SHARES

Berita Disyorkan