Tiga beranak maut, dua parah

Utusan Online |
KEADAAN kereta Proton Satria  yang terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori sehingga mengorban

KULIM 14 Feb. - Sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori membawa kelapa sawit di Jalan Batu 12, Terap dekat sini hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Azlin Adzali, 40; isterinya, Hashimah Shaari, 30, dan anak perempuan tunggal mereka, Anis Umairah, 2.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu turut menyebabkan ibu Hashimah, Badariah Adam, 54, serta bapanya, Shaari Man, 66, yang berada dalam kereta ber­kenaan cedera parah dan kini bertarung nyawa di Hospital Kulim.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, kejadian berlaku ketika lima sekeluarga itu yang menaiki kereta Proton Satria dalam perjalanan pulang ke rumah di Rancangan Perumahan Keda Sungai Salleh, Serdang di sini setelah mendapatkan rawatan untuk Badariah yang tidak sihat di Hospital Kulim.

Menurutnya, lori terlibat pula dalam perjalanan menghala ke arah Kulim selepas memungut buah kelapa sawit di sebuah kebun berhampiran.

“Sebaik sahaja sampai di lokasi kejadian, kereta yang dipandu Azlin terbabas memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh lori menyebabkan kereta mereka berpusing dan terbabas ke bahu jalan,” katanya.

Ahmad Nasir memberitahu, pemandu lori muatan kelapa sawit itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, abang Hashimah, Azman, 42, yang ditemui di Unit Forensik, Hospital Kulim berkata, sebelum kejadian adiknya memberitahu akan membawa ibu mereka yang tidak sihat untuk mendapatkan rawatan.

“Kami sekeluarga terkejut kerana kemalangan ini melibatkan lima anggota keluarga sekali gus. Apa pun kami reda dan berdoa agar emak serta bapa yang parah akan cepat pulih,” katanya.

Tambah Azman, kesemua jenazah akan dibawa balik untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rancangan Perumahan Keda Sungai Salleh.

  • 0
    SHARES

Berita Disyorkan