Peniaga degil akan diambil tindakan

Utusan Online |

JOHOR BAHRU 14 Feb. – Masih ada lagi segelintir peniaga yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan bagi meletakkan tanda harga 12 barangan dikawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Pera­yaan Tahun Baharu Cina 2018.

Pegawai Penguatkuasa Kanan Pejabat Perdagangan Dalam Ne­ge­ri, Koperasi dan Kepenggu­naan negeri, Noreswandi Mohamad berkata, kecuaian peniaga tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, tujuan meletakkan tanda harga itu sebagai garis panduan buat mereka serta pengguna untuk memastikan barangan kawalan dijual tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

“Biasanya sebelum tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan, peniaga sudah dimaklumkan oleh persatuan mereka malah pegawai KPDNKK turut mengedarkan senarai harga sebagai garis panduan pada mereka untuk dipaparkan di premis masing-masing.

“Dalam soal ini, kita akan bertindak tegas dan tidak ter­agak-agak mengambil tindakan. Jadi, pemantauan dilakukan hari ini bukan semata-mata untuk mengambil tindakan tapi bagi memastikan hak pengguna dilindungi dan dijamin undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau harga barang di Pasar Awam Taman Johor Jaya di sini hari ini.

Pemantauan tanda harga yang dilakukan di pasar awam berke­naan turut mendapat kerjasama ahli Persatuan Penggerak Pengguna Johor (PPPJ).

Ahli Jawatankuasa PPPJ, Md. Salleh Sadijo berkata, pemantauan perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan terhadap pengguna.

“Sebagai persatuan pengguna, kita tidak ada hak untuk mengambil tindakan tapi kita akan pantau dan melaporkan segala dapatan hasil pemantauan kepada pihak KPDNKK bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi pemantauan yang dilakukan membabitkan barangan antaranya ialah ayam, telur ayam gred A, kubis bulat import, bawang putih, ikan bawal putih, udang putih besar dan daging khin­zir.

  • 0
    SHARES