Hospital Lipis dilengkapi CT Scan

Utusan Online |
SARIFUDDIN SAAD (lima dari kiri) bersama kakitangan bergambar berhampiran CT Scan di Hospital Kuala

LIPIS 14 Feb. - Perkhidmatan pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di Hospital Kuala Li­pis, di sini memberi manfaat besar kepada hampir 400,000 penduduk di kawasan Pahang Barat.

Pengarah hospital berkenaan, Dr. Sarifuddin Saad berkata, per­khidmatan kemudahan bernilai RM3 juta itu yang sudah berope­rasi memudahkan penduduk sekitar daerah ini, Raub, Bentong dan Cameron Highlands mendapatkan rawatan.

“Sebelum ini, pesakit di Hos­pi­tal Lipis yang memerlukan pemeriksaan CT Scan dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dengan jarak perjalanan hampir 160 kilometer.

“Dengan adanya mesin CT Scan ini, orang ramai dapat menjimatkan banyak perkara terutama masa dan perbelanjaan waris kerana tidak perlu ke Hoshas Temerloh lagi. Proses mendiagnosis penyakit juga menjadi lebih cepat dan cekap,” katanya selepas majlis perasmian Mesin CT Scan Hospital Kuala Lipis yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad di hospital berkenaan baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengarah Ke­sihatan negeri, Dr. Sha'ari Ngadiman.

Sarifuddin memberitahu, sebanyak 38 kes dirujuk untuk imbasan CT Scan dalam tempoh seminggu perkhidmatan itu beroperasi di hospital berkenaan.

Katanya, pihaknya bersyukur dan gembira kerana penantian warga Lipis dan daerah sekitar­nya untuk mendapatkan perkhid­matan CT Scan kini direa­lisasikan.

Menurutnya, sumbangan me­sin berkenaan disifatkan sebagai 'buah tangan' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis kali Ke-29 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Lipis di sini pada Julai tahun lalu.

“Kita telah menyuarakan hasrat untuk mendapatkan mesin CT Scan ini kepada beliau. Alhamdulillah kerana kemudahan ini sudah berada di hospital kami,” jelasnya.

  • 0
    SHARES