Malaysia sedia tingkat kerjasama perangi keganasan

Utusan Online |
ANIFAH AMAN (barisan kedua, tengah) bersama menteri-menteri yang menyertai mesyuarat Gabungan Global

PUTRAJAYA 14 Feb. – Malaysia sedia untuk mempertingkatkan kerjasama dengan negara-negara yang sependapat dengannya dalam usaha memerangi keganasan termasuk membangunkan langkah-langkah naratif dan program berkaitan sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mengekang keganasan, ekstremisme dan radikalisasi, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

“Kita mesti berdiri teguh secara bersama untuk mengutuk tindakan kejam dan keji ini dan juga keganasan dalam semua bentuk dan manifestasi.

“Justeru, secara kelazimannya adalah penting bagi kita untuk mengambil langkah-langkah bersepadu untuk membendung ancaman mereka dan memerangi naratif mereka yang menyimpang dan mengelirukan,” kata beliau pada Mesyuarat peringkat Menteri Gabungan Global Menentang ISIS/Daesh di Kuwait City, Kuwait, semalam.

Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini hari ini.

Gabungan Global Menentang ISIS/Daesh ditubuhkan pada September 2014 berikutan kebimbangan dunia terhadap Daesh dan ancamannya terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Gabungan itu mempunyai 71 anggota termasuk Malaysia dan empat institusi iaitu Liga Arab, Interpol, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Ke­satuan Eropah.

Anifah berkata Malaysia berpegang kepada nilai-nilai kesederhanaan atau wasatiyah sebagai satu daripada pendekatan penting dalam usaha menentang radikalisasI dan memerangi naratif Daesh yang terpesong.

Beliau berkata, selepas kekalahannya di wilayah Iraq dan Syria yang telah dibebaskan, Daesh kini telah memusatkan perhatian mereka dan merancang beberapa serangan pengganas, mungkin dengan cara baharu dan kemungkinan mengalihkan tumpuan mereka ke kawasan lain di dunia termasuk Asia Tenggara.

Beliau berkata, kehilangan wi­layah pastinya menjadikan komunikasi digital dan maya lebih penting untuk mereka menyebarkan ideologi palsu dan naratif yang terpesong di seluruh dunia.

Anifah berkata, Malaysia mengamalkan pendirian proaktif dengan melaksanakan langkah-langkah pencegahan berdasarkan rangka kerja perundangan dan undang-undang antarabangsa yang komprehensif serta resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

“Kerangka perundangan sedemikian, disusuli penguatkua­saan yang kuat melalui pendekatan yang lembut dan keras, telah menunjukkan hasil nyata.

“Usaha ini telah berjaya menggagalkan pelbagai usaha pengganas untuk menggugat keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata beliau.

Anifah juga menarik perhatian bahawa rekod itu menunjukkan bahawa program radikalisasi bersepadu Malaysia telah mencapai tahap kejayaan yang sangat tinggi dengan majoriti pengganas dan anggota pelampau kini te­lah dipulihkan sepenuhnya dan kembali semula ke pangkuan masyarakat. – BERNAMA

  • 0
    SHARES

Berita Disyorkan