Tetap enggan berundur

Utusan Online |
KELUARGA Netanyahu didakwa menerima hadiah secara haram terutamanya

TEL AVIV 14 Feb. - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap berkeras mahu kekal meme­gang jawatannya hanya beberapa minit selepas polis mencadangkan supaya beliau didakwa berhubung dua siasatan jenayah.

RONI ALSHEIKH
RONI ALSHEIKH

Pada masa sama, ahli politik pembangkang mengalu-alukan cadangan pendakwaan yang disifatkan bakal menamatkan karier pemimpin ber­kenaan

Press TV melaporkan, Netanyahu kini menunggu keputusan muktamad peguam negara Israel sama ada beliau akan berdepan dengan pertuduhan itu.

Polis Israel dalam pengumumannya semalam berkata, dalam kes pertama dikenali sebagai Case 1000, Netanyahu didakwa me­lakukan jenayah rasuah, peni­puan dan khianat berkaitan dakwaan penerimaan hadiah secara haram oleh pe­mimpin berkenaan dan keluar­ganya terutama daripada penerbit filem Hollywood, Arnon Milchan.

Bagi pertuduhan kedua dikenali sebagai `Case 2000’, pemimpin Israel itu dituduh melakukan ra­suah, penipuan dan khianat yang melibatkan Arnon Mozes, pemilik akhbar Yedioth Ahronoth, sebuah akhbar terbesar Israel.

Dalam Case 2000, Perdana Menteri Israel yang berusia 68 tahun, berjanji kepada Mozes bahawa beliau akan menyokong rang undang-undang untuk mengurangkan edaran akhbar Israel Hayom yang menjadi saingan kepada akhbar milik ahli perniagaan tersebut sebagai pertukaran kepada liputan tentang Netanyahu yang juga pengerusi Parti Likud dalam akhbar Yedioth.

Berdasarkan ken­yataan polis, Netanyahu menerima hadiah bernilai 750,000 shekel (RM842,569) daripada Milchan dan 250,000 Shekel (RM279,544) da­ripada Packer.

Beberapa minit selepas cadangan pendakwaan diumumkan, Netanyahu membuat kenyataan bahawa beliau tidak pernah mencari keuntungan peribadi ketika perkhidmatannya sebagai perdana menteri.

“Saya akan terus memimpin Israel dengan penuh tanggungjawab dan kepercayaan selama mana anda mahu kerana rakyat Israel memilih saya untuk mengetuai anda.

“Saya pasti dan yakin kebenaran akhirnya akan diketahui dan saya yakin pada pilihan raya yang akan datang yang diadakan mengikut jadual, saya akan mendapat kepercayaan anda lagi,” katanya.

Pengerusi Parti Buruh, Avi Gabbay berkata, era pentadbiran Ne­tanyahu sudah berakhir sama ada menerusi kotak undi mahupun siasatan.

“Perdana Menteri merosakkan peraturan undang-undang dengan cuba menghadkan pasukan penyiasat dan mendorong orang awam supaya hilang kepercayaan,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Ehud Barak yang merupakan lawan Netanyahu meminta pemimpin itu menggantung tugasnya dan bagi parti perikatan kerajaan supaya mencari pengganti Netanyahu pada hari ini.

“Tahap rasuah amat menakutkan dan ini tidak kelihatan seperti apa-apa melainkan rasuah,” katanya.

  • 0
    SHARES