Op Selamat 12: Polis Pulau Pinang tumpu 20 lokasi hotspot

Utusan Online |
A. THAIVEEGAN menyerahkan kit keselamatan jalan raya dan beg cenderamata Tahun Baharu Cina sempena k

BUKIT MERTAJAM 14 Feb. – Polis negeri akan memberi tumpuan di hampir 20 kawasan panas atau hotspot yang dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlakunya kemalangan jalan raya menje­lang sambutan Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan berkata, antara lokasi tersebut ialah di sepanjang laluan Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) khususnya di Sungai Dua serta beberapa kawasan di sebelah pulau termasuk Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

“Kita dapati kebanyakan kemalangan ber­laku disebabkan oleh faktor kelajuan. Jadi, sentiasa patuhi had laju dan had muatan ken­deraan,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan Op Selamat Ke-12 pe­ringkat negeri di Plaza Tol Juru arah utara di sini semalam.

Operasi yang bermula sejak Jumaat lalu itu dijangka berakhir seminggu selepas perayaan tersebut iaitu pada 23 Februari depan.

Thaiveegan menambah, sempena perayaan itu juga, pegawai dan anggota polis akan melakukan rondaan 24 jam sehari di kawasan berkenaan bagi memastikan jumlah kemalangan terutama membabitkan kemalangan maut dapat dikurangkan.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap kempen Op Selamat yang dijalankan itu akan membantu menangani kes kemala­ngan jalan raya, pecah rumah dan jenayah lain.

Ujarnya, pada Op Selamat 10 Tahun Baharu Cina 2017, seba­nyak 1,776 kes kemalangan jalan raya dicatatkan di Pulau Pinang dan jumlah itu meningkat sebanyak 104 kes atau 6.22 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ratusan ribu kenderaaan dijangka memasuki Pulau Pinang menjelang dan semasa cuti Tahun Baharu Cina ini.

“Sehubungan itu kita telah memperkasakan serta mengatur gerak kerja bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin sepanjang musim perayaan itu,” katanya.

  • 0
    SHARES

Berita Disyorkan