Tun M : Azmin berkebolehan jadi PM, TETAPI….

The Malaysian Times |
CYBERJAYA, 13 Jan :   Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Menteri  Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seorang pemimpin  berkebolehan untuk menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerui PH itu bagaimanapun berkata walaupun Mohd  Azmin amat berkebolehan tetapi beliau tidak  dipilih oleh kepimpinan PH untuk jawatan itu.

“Beliau cukup berkebolehan tetapi tidak terpilih. Anda tidak saja perlu berkebolehan tetapi mesti dipilih. Saya tak tahu sama ada saya berkebolehan tetapi mereka telah memilih saya,” katanya kepada pemberita selepas menjadi anggota panel Forum Wawasan 2020 di sini hari ini.

Beliau mengulas soalan yang ditimbulkan mengapa beliau tidak mencadangkan nama lain seperti Azmin sebagai calon PM PH.

Semalam, dilaporkan bahawa Mahathir tidak mahu menjadi perdana menteri jika PH memenangi  PRU14  tetapi beliau telah diminta agar menerima pencalonan itu.

Ditanya mengenai komen anak perempuan mendiang Karpal Singh yang menyelar pencalonan  Mahathir yang menurutnya menunjukkan kelemahan  strategi Pembangkang, Mahathir berkata: Setiap orang berhak memberikan  pendapat, saya perlu menghormati mereka yang menyokong dan menaruh kepercayaan pada saya.”

Forum, yang sepatutnya bermula pada jam 2 petang, hanya bermula  pada 3.15 petang dengan jumlah kehadiran hanya kira-kira 300 orang berbanding lebih 1,000 yang diharapkan.

Sekretariat terpaksa mengeluarkan sebahagian  kerusi dari dewan bila mendapati ruang venue separuh kosong.

Setelah forum bermula, pengacara majlis meminta sekretariat terus membuka pintu bagi membolehkan  lebih ramai masuk, namun hanya sebilangan tambahan yang muncul.

 

 

  • 0
    SHARES